Total Pageviews

Popular Posts

Thursday, July 28, 2016

Hobi - hobi Dalam Radio Amatur

Radio amatur adalah satu nama bagi sifat, perbuatan dan juga gelaran bagi hobi eksperimentasi teknologi tanpa wayar, penerokaan frekuensi radio dan aktiviti berkaitan. Mereka yang terjerumus di dalam bidang ini dipanggil operator radio amatur. Radio amatur bukanlah barang atau peralatan, sebaliknya ia adalah kata nama khas bagi definasi di atas.

 Dalam tajuk besar radio amatur terdapat beberapa lagi hobi di bawahnya. Antara sub hobi tersebut adalah:-

1. Ragchew - ragchew adalah hobi bersembang atau berbincang di udara mengenai perkara-perkara yang melibatkan radio amatur ataupun perkara yang melibatkan operasi radio amatur itu sendiri. Ragchew lebih kepada perbincangan teknikal, hal-hal peribadi yang tidak keterlaluan, aktiviti radio amatur dan lain-lain. Selalunya operator radio amatur lebih gemar ragchew di dalam mod suara, mod CW yang menggunakan kod Morse dan ada segelintir yang gemar menggunakan mod digital.

2. Membina antenna - antenna merupakan perkara asas dalam pengoperasian radio dan segelintir operator radio amatur mendapat kepuasan jika dapat membinanya sendiri. Dari antenna ringkas kepada antenna yang lebih kompleks, itu semua antara sub hobi dalam radio amatur. Untuk membina antenna, seseorang itu harus mengetahui teori, sifat antenna yang ingin dibina, kebaikan dan juga kekurangan antenna tersebut. Melalui perbincangan, pembacaan dan pengalaman dapat menaikkan tahap kecekapan operator radio amatur dalam proses membina antenna.

3. Projek eletronik dan eletrik - eletrik dan eletronik adalah asas dalam radio amatur. Sebuah radio terdiri dari banyak komponen eletronik dan dijanakan menggunakan bekalan kuasa eletrik. Operator radio amatur yang suka dan mempunyai asas yang kukuh dalam bidang ini mampu menambahbaik peralatan, aksesori dan juga mampu membina peralatan sendiri seperti radio, antenna tuner, equalizer atau pre amp untuk microphone, noise filter dan lain-lain.

4. Mengumpul kad QSL dan setem - setiap perhubungan dengan operator radio amatur luar negara selalunya disusuli dengan pengiriman kad QSL yang mengandungi rekod-rekod berkaitan ketika berhubung. Kad QSL juga mempunyai nilai sentimental dan sejarah yang tinggi bagi sesetengah individu. Ada operator radio amatur yang gemar mengumpul kad QSL dan juga setem yang diambil dari sampul surat kad QSL sebagai hobi. Kad QSL selalunya menjadi kebanggaan bagi pengumpul tambah-tambah lagi jika kad itu dari negara yang jarang ke udara seperti Korea utara.

5. Eyeball QSO - eyeball QSO adalah aktiviti di mana operator radio amatur bertemu sesama mereka. Disamping berkenalan dan bersosial, mereka selalunya akan berbincang tentang perkara yang melibatkan peralatan berkaitan radio amatur dan juga aktiviti radio amatur. Kebanyakkan operator radio amatur mudah mesra ketika eyeball QSO jika mereka pernah berhubung melalui udara.

6. Festival radio amatur - festival radio amatur adalah satu festival yang berasaskan perkara yang melibatkan radio amatur, perkakasan dan juga aktiviti yang melibatkan radio amatur. Ada operator radio amatur yang gemar melawat festival ini kerana dapat memberi kepuasan yang tersendiri tambah lagi jika festival itu berlaku di luar negara. Mengembara sambil mencari pengalaman dan menambah pengetahuan.

7. Mengumpul radio antik - radio antik kebanyakannya mempunyai nilai ringgit yang tinggi kerana radio antik selalunya sudah tiada dalam pasaran. Ramai di antara operator radio amatur gemar mengumpul radio antik walaupun ada radio antik yang sudah tidak boleh digunapakai lagi.

8. Mengumpul CW keyer - CW keyer merupakan satu suis atau kekunci yang selalu digunakan oleh operator radio amatur dalam pengoperasian mod CW (kod Morse). CW keyer antik selalunya akan disimpan dan dijaga supaya kelihatan bersih kerana ianya juga mempunyai nilai sentimental tersendiri.

9. Contesting - contest merupakan salah satu peraduan yang dibuat khas untuk operator radio amatur. Peraduan ini melibatkan penyertaan dari banyak negara dan masing-masing akan berusaha untuk memungut mata tertinggi. Secara tak lansung aktiviti ini dapat menaikkan nama sesebuah negara dan mempunyai kepuasan tersendiri kepada individu yang menyertainya.

10. ARDF - amateur radio direction finding adalah aktiviti luar bagi radio amatur yang mengkhususkan pengajian dan praktikal mencari beacon yanh disorok menggunakan teknik radio direction finding. Aktiviti ini mampu mengasah kecekapan individu dan kumpulan dalam mengesan dan mencari beacon dengan menggunakan peralatan ringkas.

11. Aktiviti outdoor - operator radio amatur terdiri dari pelbagai peringkat umur dan selalunya ada di antara mereka yang suka dengan aktiviti outdoor. Pengoperasian radio boleh juga dibuat diluar rumah selalunya disebut sebagai portable operation. Radio amatur biasanya membuat aktiviti pengoperasian radio di tempat seperti rumah api, di tepi pantai atau di pulau. Aktiviti riadah ini mampu mengurangkan tekanan disamping menikmati keindahan alam sekitar.

12. Jamboree on the air - satu aktiviti bagi pengakap berhubung melalui radio. Satu aktiviti yang menyeronokkan disamping dapat berkenalan dengan pengakap dari negara lain.

13. Ilmu falak - satu aktiviti melibatkan pembacaan, pemerhatian bumi dan langit dan membuat keputusan hasil dari aktiviti tersebut. Sub hobi yang unik dan mampu memberi kepuasan kepada peminatnya.

14. Simulasi komunikasi kecemasan - simulasi kecemasan merupakan latihan kepada operator radio amatur yang minat dalam aktiviti amal. Simulasi mampu memantapkan lagi ilmu dan praktikal komunikasi radio jika berlaku sebarang bencana.

15. DXing - satu hobi berhubung dengan operator radio amatur dari luar negara. Aktiviti yang popular dikalangan operator radio amatur dan memberi kepuasan jika dapat mengumpulkan kenalan dari luar negara. Adakalanya dari negara yang tidak pernah dikenali sebelum ini.

16. Shortwave listening - shortwave listening atau SWL merupakan antara hobi tertua dan ianya juga menjadi asas kepada operator radio amatur pada zaman dahulu. Mendengar dan menerokai pada frekuensi shortwave popular pada zaman dahulu tatkala hiburan lain masih belum wujud. Mendengar perbualan operator radio amatur dari seluruh pelusuk dunia, mendengar berita dan wawancara yang disiarkan oleh radio broadcast dalam mod AM adalah sesuatu yang menyeronokkan termasuk mendengar perbualan di antara pegawai kawalan trafik udara dan pilot kapalterbang. 

17. ESSB - singkatan enhanced single side band. Hobi bagi operator radio amatur yang suka untuk menambah kualiti pemancaran audio dalam mod SSB. Memerlukan pengetahuan dalam bidang audio processing, teori audio frequency, equalizing, noise suppressions, audio gear chains dan lain-lain yang berkaitan. Komuniti dari seluruh pelusuk negara dan mampu memberi kepuasan yang tersendiri. 

Begitulah secara ringkas tentang sub hobi dalam radio amatur. Masih banyak lagi yang ingin disampaikan mungkin pada artikel seterusnya.



73 de 9M2PJU

No comments:

Post a Comment