Total Pageviews

Popular Posts

Saturday, July 23, 2016

Hakikat Penglibatan Dalam Radio Amatur

Saya perhatikan majoriti pemula dalam dunia radio amatur sekarang bukan bermula dari shortwave listening. Kebanyakan generasi baru bermula dari sudut yang lain berbeza dengan generasi sebelumnya. Pada zaman dahulu, tiada kemudahan internet, tiada siaran television satelit, kurang hiburan, kurang kemudahan lain dan juga populasi manusia juga tidak seramai sekarang. Dulu dan kini sangat berbeza.

Pada zaman dahulu, shortwave radio menjadi pilihan kerajaan untuk menyampaikan berita dan maklumat kepada rakyat. Penyiaran pada MW dan SW boleh mencapai satu keluasan sebuah negara kecil. Walaupun kualiti audio yang tidak sesedap WFM di VHF, tetapi sudah mencukupi untuk pendengar umum. Jika ditanya kepada generasi lama, ada di antara mereka suka mendengar siaran radio shortwave dari Malaysia, Amerika, China, UK dan juga dari Indonesia. Voice of Amerika terkenal dengan doodle song sebagai intro. Jika anda tidak percaya, cuba tanya mereka tentang SW, mesti ada banyak cerita yang akan dikongsi.

Dari radio shortwave kepada radio amatur. Bermula dengan mendengar frekuensi penyiaran dan jalur-jalur radio amatur, mereka mula mengorak langkah dalam dunia radio amatur dengan mendapatkan kebenaran dan callsign untuk menggunakan frekuensi. Ada yang membina transmitter sendiri. Berbekalkan commercial sw radio dan homemade transmitter dan simple wire antenna, satu kepuasan yang tak terhingga diperolehi. Penerokaan demi penerokaan diteruskan sehingga ke saat ini. Cabaran dan dugaan berbeza dengan zaman sekarang sehinggakan nak dapatkan segulung kabel coaxial pun susah. Kedai eletronik berdekatan menjadi tumpuan. Begitulah secara ringkasnya.

Di dalam dunia yang serba digital sekarang ini, teknologi analog masih digunakan secara meluas. Oleh kerana kos yang rendah berbanding digital, ianya menjadi pilihan dan masih menjadi produk terutama bagi negara yang masih membangun. Era komputer, telefon pintar dan internet mendekatkan masyarakat dengan dunia siber yang penuh dengan ilmu pengetahuan dan tidak kurang juga dengan kemusnahan. Kewujudan media sosial dan medium perhubungan melalui internet memudahkan perbincangan. Panggilan video membolehkan pemanggil dan penerima melihat antara satu sama lain. Gambar dan video mudah dikongsi bersama. Telefon pintar boleh mengambil gambar pada resolusi yang tinggi. Sekali tekan, gambar yang diambil terpampang pada skrin telefon. Berbeza dengan zaman dahulu. Kamera berfilem negatif memakan masa untuk diproses. Ambil gambar hari ini mungkin minggu depan baru boleh tengok hasilnya. Sama juga dengan video. Ambil video hari ini mungkin berbulan bulan baru dapat tengok. Filem perlu dihantar ke syarikat pemprosesan dan adakalanya perlu dihantar ke luar negara.

Di dalam radio amatur malaysia, masih ramai golongan operator-operator lama yang masih aktif. Bermacam-macam aktiviti yang mereka lakukan untuk kekal dalam radio amatur walaupun sudah kurang minat untuk ke udara. Ada yang mengikuti perkembangan secara pasif, mendengar perbualan stesen radio amatur luar negara, mendengar perbualan radio amatur tempatan di VHF dan banyak lagi.

Pada masa kini, jika diperhatikan di kawasan Selangor dan Kuala Lumpur, kebanyakan mereka yang menceburkan diri dalam dunia amatur bermula terdiri dari beberapa kumpulan:-

Kumpulan kereta/4x4/konvoi/marshall. Kumpulan ini meminati acara yang melibatkan penggunaan kenderaan seperti long distance konvoi, bantuan kenderaan kecemasan, 4x4 extreme challenge. Mempunyai lebih dari satu minat selain dari radio. Menggunakan kereta atau 4x4, suka aktiviti luar rumah dan mengambil berat akan kelancaran sesuatu konvoi dengan mencari inisiatif perhubungan menggunakan radio. Minat mereka juga tidak terbatas kepada aktiviti berkenderaan sahaja, ada yang minat kepada fotografi, memancing, eletrik dan eletronik dan juga aktiviti sosial yang lain.

Kumpulan geek/techie/hacker. Kumpulan ini mempunyai asas yang kukuh di dalam dunia perkomputeran. Selalunya mereka juga menyertai kumpulan berasaskan komputer yang lain tetapi masih meminati teknologi perhubungan menggunakan radio atas sebab peribadi. Kebanyakkan mereka selalunya up-to-date dengan teknologi dan pandai menyesuaikan diri dengan sebarang perubahan yang melibatkan radio dan komputer.

Kumpulan bekas operator komersil/militari. Kumpulan ini pula terdiri dari bekas operator radio tentera, polis atau syarikat perkapalan. Golongan ini mempunyai asas yang kukuh sebagai seorang operator radio. Namun di dalam radio amatur, ada banyak lagi cabang yang perlu dilihat. Bukan sekadar bercakap di udara menggunakan suara atau kod Morse sahaja.

Kumpulan pekerja sektor industri eletrik/eletronik. Golongan ini cekap dalam pengiraan dan teori yang melibatkan eletrik seperti beban, pembumian, galangan dan juga rintangan. Mereka juga mahir menggunakan komputer dan juga alat-alat penguji yang lain. Pengalaman yang lama di dalam sektor ini mampu mengekalkan mereka di dalam dunia radio amatur kerana semuanya berkait di antara satu sama lain.

Kumpulan cikgu/pengakap. Kumpulan ini kebiasaannya bukanlah cikgu yang biasa. Mereka mempunyai minat yang lain selain dari mengajar subjek asas pendidikan di institusi pengajian. Mereka boleh menerima perubahan dan sanggup bekorban demi kelansungan aktiviti pengakap yang melibatkan radio seperti jamboree on the air. Manakala bagi pengakap pula, rata-ratanya mempunyai minat dalam dunia pengakap yang banyak mengajar mereka sejak dari kecil. Mengenali radio amatur hasil dari tunjuk ajar cikgu cikgu semasa aktiviti radio di dalam pengakap. Mereka juga mempunyai minat yang lain seperti mendaki gunung, memancing, berbasikal dan lain lain.

Kumpulan rukun tetangga/unit ronda kawalan kampung. Kumpulan ini biasanya didedahkan dengan penggunaan radio sebagai medium perhubungan semasa bertugas menjaga keamanan setempat. Bermula dari handytalkie, kemudian menjejakkan diri dalam dunia radio amatur dan mengenali aktiviti aktiviti radio yang lain.

Kumpulan peminat bantuan perhubungan kecemasan. Atas sebab sebab tertentu, ada individu terdiri dari peminat komunikasi kecemasan atau bencana ini menceburkan diri dalam radio amatur. Ada juga dikalangan mereka yang pernah menjadi sukarelawan ketika bencana. Ada di antara mereka yang mempunyai kenderaan 4x4 bersama peralatan bantuan yang siap sedia untuk digunakan apabila perlu.

Kumpulan pembina/hobi eletronik. Peminat hobi eletronik ini selalunya mempunyai pengalaman dan mahir dalam kerja kerja tangan. Apa jua perkara yang melibatkan eletronik, akan mereka terokai. Dari kerja kerja pembaikian tv, radio, mereka melangkah ke satu dunia yang lebih luas penggunaan eletronik iaitu radio amatur. Selalunya mereka juga mahir dalam penggunaan komputer dan alat alat penguji.

Kumpulan peminat aktiviti outdoor/survival/pendaki bukit. Kumpulan ini rata ratanya adalah pencinta alam sekitar dan meminati ilmu ikhtiar hidup. Penggunaan radio sebagai medium perhubungan semasa membuat aktiviti sangat menyenangkan dan kos nya yang murah berbanding telefon satelit. Mereka juga selalunya mempunyai peralatan yang cukup untuk bermalam semasa menjalani aktiviti outdoor. Ilmu ikhtiar hidup dan radio amatur jika digabungkan dapat memberi kepuasan dan sangat berguna ketika berlakunya bencana.

Kumpulan cendiakawan/pemikir. Kumpulan para pemikir selalunya banyak ilmu dan rata ratanya adalah seorang yang genius sejak dari kecil. Mereka bijak mencari rujukan dan selalunya mereka jugalah orang di mana orang lain merujuk. Setiap tutur kata dan penulisan dari mereka adalah berharga dan mengikut logik akal. Penglibatan dari kumpulan ini amat diperlukan.

Sebenarnya terdapat banyak lagi kumpulan yang melibatkan diri dalam radio amatur atas sebab sebab tertentu. Terlalu banyak untuk ditulis namun ianya bukan menjadi satu sempadan atau batu penghalang untuk kita sama sama berdiri teguh dalam dunia radio amatur. Minat yang berbeza beza sepatutnya memberikan kita peluang untuk sama sama berkongsi ilmu dan pengalaman. Ada ilmu yang boleh digunapakai dalam radio amatur dan ada juga yang boleh diserapkan ke dalam kehidupan.

Dunia radio amatur adalah lapangan yang luas untuk menimba ilmu. Oleh kerana latarbelakang mereka yang menceburi diri dalam radio amatur ini berbeza beza, maka penuh ilmu yang bewarna warni di dalamnya. Lapangan radio amatur merupakan medium bersosial antara yang tertua di dunia selain dari pen dan kertas. Generasi terdahulu berkongsi idea dan pengalaman di ruang udara sebelum kewujudan internet lagi. Pelbagai eksperimen dibuat hasil dari usaha radio amatur dan hasilnya diadaptasikan ke dalam penggunaan kita sehari harian. Rujuklah pada mereka yang berada dibidang yang sebenar isi soalan itu diajukan. Tanyalah kepada mereka yang mengetahui. Di zaman yang serba moden ini ada banyak rujukan yang boleh dibuat. Buku eletronik, media sosial, perpustakaan maya dan forum forum perbincangan berlambak di dunia maya. Biasakan membuat rujukan dan kerja rumah sendiri dan jika tiada jawapan yang memuaskan, rujuklah kepada mereka yang mengetahui.

Radio amatur mendekatkan di antara 2 darjat. Yang lama dan yang baru, yang tahu dan yang tak tahu, yang miskin dan yang kaya, pemerintah dan masyarakat dan pemimpin dan pelaksana. Tiada kasta di dalam radio amatur cuma hormat menghormati yang dituntut. Bukankah itu ajaran semua agama?

Umpama sebuah tukul. Ianya boleh digunakan untuk membina rumah sebagai pelindung untuk manusia dan ianya juga boleh digunakan untuk menghancurkan sebuah rumah. Buka minda dan hati. Terimalah kenyataan dan hadamkan hakikat, semuanya di depan mata.


73 de 9M2PJU

No comments:

Post a Comment