Total Pageviews

Popular Posts

Saturday, July 21, 2012

Perkhidmatan Telegram Berakhir

Selepas lebih separuh abad berkhidmat, telegram kini menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah negara apabila Telekom Malaysia Berhad (TM) secara rasmi menamatkan perkhidmatan tersebut hari ini.

Penamatan perkhidmatannya terpaksa dilakukan berikutan kos penyelenggaraan yang tinggi serta saingan perkembangan teknologi komunikasi semasa.

Pengurus Besar TM Kelantan, Ab. Rashid Che Othman berkata, perkhidmatan telegram pada masa kini hanya digunakan oleh institusi kewangan untuk menuntut kembali hutang mereka dan amat jarang bagi orang awam menggunakannya.

"Hari ini adalah hari terakhir kita menyediakan perkhidmatan telegram di negeri ini. Hari ini sahaja kita menghantar kira-kira 1,000 telegram melalui TM Point Kota Bharu.

"Secara purata kita menerima 600 sehingga 700 telegram dihantar melalui TM Point Kota Bharu daripada bank atau institusi kewangan pada setiap bulan dan peningkatan secara mendadak hari ini disebabkan pelanggan mahu memastikan telegram dapat dihantar buat kali terakhir," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.


Ab. Rashid berkata, sejak tahun 2000, telegram dihantar melalui komputer dan tidak lagi menggunakan mesin telex seperti zaman dahulu.

Katanya, ini disebabkan kos untuk membaiki mesin tersebut amat tinggi malah kemungkinan alat ganti yang diperlukan juga telah tiada lagi.

"Harga untuk setiap patah perkataan bagi telegram biasa ialah 10 sen manakala 20 sen setiap patah perkataan bagi telegram segera," katanya.

"Kami generasi lama TM amat merasai kehilangan telegram kerana ia merupakan satu alat komunikasi yang amat penting terutama untuk menyampaikan berita-berita kecemasan. Bagaimanapun perkembangan teknologi membuatkannya kini terpinggir," katanya.

Sumber - berita tempatan
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone

No comments:

Post a Comment